Lebih 80 warga Myanmar ditahan cuba masuk Malaysia secara haram

SERAMAI lebih 80 warga Myanmar ditahan semalam ketika bersembunyi di kawasan hutan di daerah Na Mom, Songkhla di selatan Thailand semalam, dipercayai sedang bersiap sedia untuk memasuki Malaysia secara haram selepas membayar ejen dengan bayaran tinggi.

Kesemua mereka termasuk pendatang lelaki dan wanita itu ditahan kira-kira jam 1 petang susulan maklumat daripada penduduk kampung yang melaporkan aktiviti mencurigakan di kawasan hutan di kaki bukit itu.

Setiap migran terbabit dipercayai membayar antara 79,000 baht (RM10,300) hingga 150,000 baht (RM20,200) kepada ejen dengan harapan mendapat pekerjaan di Malaysia.

Jurucakap keselamatan Thailand berkata, pihak berkuasa yang tiba di lokasi menemukan lebih 80 individu bersembunyi di celah semak.

“Sebahagian mereka mendirikan tempat perlindungan sementara menggunakan kanvas di bawah pokok dan pemeriksaan mendapati semua mereka terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Kesemua warga Myanmar itu kemudian ditahan dan dibawa ke dewan pejabat daerah Na Mom untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Jurucakap itu berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan bergerak dari bandar Payathonzu di negeri Kayin, Myanmar, kira-kira enam hari lalu.

“Mereka dipercayai memasuki Thailand melalui laluan haram berhampiran Three Pagodas Pass di daerah Sangkhlaburi, Kanchanaburi, sebelum dihantar secara berperingkat.

“Pihak berkuasa percaya migran terbabit dipindahkan menggunakan lori enam roda bertutup dan kenderaan pacuan empat roda sebelum diturunkan di kawasan hutan pada pagi hari sama mereka ditahan,” katanya.

Beliau berkata, pihak imigresen kini menjalankan saringan terhadap semua tahanan bagi menentukan sama ada mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia, walaupun dapatan awal menunjukkan mereka datang secara sukarela.

“Selepas proses saringan selesai, tindakan undang-undang akan diambil sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img