SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah dua lagi syarikat penilaian saham susulan penahanan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan.
Menurut sumber, siasatan terkini turut mendapati penyelewengan itu dirancang dengan sistematik dan dipercayai berlaku juga transaksi keluar masuk wang ke akaun di luar negara.
“Siasatan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dipercayai membabitkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal, yang berpotensi menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta.
“Sehingga kini seramai 10 orang saksi dirakam percakapan dan dijangka tujuh orang saksi lagi akan dipanggil dan dirakam percakapan dalam masa terdekat,” kata sumber itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi berkata, fokus siasatan kini menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain kesalahan pecah amanah jenayah.
“Penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain yang berkaitan khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.
Media semalam melaporkan bekas CEO sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi syarikat pegangan direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penjualan saham sehingga menyebabkan kerugian dana awam melebihi RM300 juta.
Mereka disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun berkenaan.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 40 dan lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.


