Wanita putih mata, lebih RM90,000 hasil gadaian lesap ditipu sindiket

SEORANG pembantu kedai berputih mata apabila wang hasil gadaian barang kemas bernilai lebih RM90,000 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan yang mendakwa dia terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 21 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 8.52 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 10 April lalu kira-kira jam 4 petang ketika mangsa berada di rumahnya apabila menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pihak penghantaran barangan.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam penghantaran bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad bank sebelum panggilan disambungkan kepada individu lain yang kononnya dari Polis Kontinjen Sarawak.

“Mangsa kemudian dikehendaki mempamerkan aset yang terdiri daripada beberapa barang kemas dan dikehendaki membuat gadaian ke atas barang kemas itu.

“Mangsa yang terpedaya kemudian membuat gadaian ke atas barang kemas miliknya dan ibunya di tiga kedai pajak gadai di daerah ini termasuk membuat gadaian ke atas surat gadai bagi memperoleh wang berjumlah RM90,240,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat beberapa pindahan wang ke tiga akaun berbeza, termasuk RM7,500 melalui dua transaksi pada 11 April.

“Mangsa turut memindahkan RM73,400 menerusi 17 transaksi pada 11 dan 12 April serta RM9,340 lagi ke satu akaun lain pada 12 April,” katanya.

Azli berkata, selepas semua pindahan dibuat, mangsa gagal menghubungi suspek sebelum menyedari dirinya ditipu.

“Mangsa cuba menghubungi nombor berkenaan namun tiada jawapan dan mangsa mulai mencurigai sebelum mengesyaki ia adalah satu penipuan.

“Mangsa yang mengalami kerugian berjumlah RM90,240 kemudian membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img