Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Pontian merampas dadah jenis syabu bernilai RM69,080 dalam Op Rondaan Tapis di kawasan Pemas dan Penerok, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussaian berkata, operasi kira-kira jam 9.15 malam itu berjaya menahan dua individu dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah kereta.
Menurutnya, kedua-dua suspek terdiri daripada lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 43 tahun, masing-masing warga tempatan.
“Pemeriksaan lanjut, suspek lelaki tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala suspek perempuan adalah pemandu e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan reman terhadap suspek lelaki selama tujuh hari bermula 11 hingga 17 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dipanggil semula bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menerima upah menghantar barangan yang tidak diketahui kandungannya bagi mengelak menjadi keldai dadah.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Jabatan Siasatan Janayah Narkotik (JSJN) di talian 012 – 2087222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di talian 07 -6869999, ” katanya.


