KERAJAAN akan meneliti segera proses penyasaran subsidi diesel menggunakan mekanisme seperti dilaksanakan bagi program BUDI95.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Kementerian Kewangan untuk memperincikan kaedah pelaksanaan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan subsidi diesel disasarkan secara lebih berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Perdana Menteri meminta Kementerian Kewangan meneliti segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme seperti BUDI95 dan pembentangan akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet dan Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di Putrajaya, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata kerajaan turut meneliti aspek biodiesel dengan keputusan meningkatkan kadar adunan daripada B10 kepada B15, bermula dengan pelaksanaan B12 terlebih dahulu.
Menurutnya, pelaksanaan itu tidak akan melibatkan sebarang kos tambahan kepada kerajaan kerana menggunakan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada.
Katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) turut memaklumkan bahawa kemudahan bagi biodiesel B20 kini tersedia di seluruh Sarawak kecuali di Bintulu, selain turut terdapat di Labuan dan Langkawi.
“Kerajaan akan terus meneliti langkah-langkah seterusnya bagi memperkukuh pelaksanaan biodiesel di negara ini,” katanya.
Tambah beliau, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan melakukan satu lawatan ke premis pada Sabtu ini bagi meninjau bahan asas bagi tujuan pengadunan biodiesel


