Ops Sapu JIM: 16 PATI ditahan dalam serbuan rumah pekerja di Kulim

SEBUAH penempatan yang dijadikan rumah pekerja di kawasan perindustrian Padang Meiha, Kulim diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Sapu awal pagi tadi, membongkar penempatan warga asing yang dipercayai melanggar undang-undang imigresen.

Serbuan sekitar jam 1.20 pagi itu membabitkan 30 pegawai penguat kuasa JIM Kedah, hasil maklumat awam.

Tinjauan mendapati dua blok rumah pekerja dua tingkat itu dihuni warga asing yang bekerja di kawasan industri berhampiran, selain terdapat premis di hadapan dijadikan kedai runcit yang menjual barangan keperluan harian termasuk minyak masak berpaket.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, pemeriksaan ke atas 33 warga asing mendapati 16 individu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Daripada jumlah itu, 10 adalah warga China, lima Bangladesh dan seorang Myanmar. Ketika serbuan dilakukan, terdapat cubaan melarikan diri namun berjaya dipatahkan hasil kecekapan anggota,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian daripada warga asing itu bukan penghuni tetap, sebaliknya menumpang kerana bekerja di sekitar kawasan industri berkenaan.

Kesemua yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Belantik di Sik untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejak Januari hingga 16 April lalu, pihaknya telah melaksanakan 227 operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 2,756 warga asing, dengan 658 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan imigresen.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan majikan agar tidak menggajikan warga asing tanpa dokumen sah atau yang menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img