YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa.
Titah baginda , ia bagi memastikan kelangsungan tadbir urus negeri berjalan dengan teratur serta memelihara kepentingan rakyat.
“Beta berdoa kepada Allah supaya negeri dan rakyat beta terus diberikan kesejahteraan dan hidup dalam suasana harmoni melalui kepimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun bersama barisan exco kerajaan negeri.
“Beta berasa amat bersyukur kerana kerjasama kukuh dalam kerajaan beta terus menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada tahun lepas,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Ke-15 di Seremban hari ini, lapor FMT
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, bagaimanapun tidak hadir ke persidangan itu.
Tuanku Muhriz bertitah ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiringi baginda pada setiap perasmian sidang DUN tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan itu.
Semalam, Bernama melaporkan secara lazimnya, majlis turut dihadiri Tunku Besar Tampin dan Undang yang empat namun susulan kemelut berlaku baru-baru ini, kehadiran mereka mencetuskan tanda tanya.
Sementara itu dalam titah baginda juga, Tuanku Muhriz mengingatkan pemegang jawatan tinggi di negeri itu supaya membuat keputusan dengan teliti, berpandukan fakta dan undang-undang.
Baginda bertitah jawatan yang diberikan datang bersama amanah dan tanggungjawab besar, justeru setiap tindakan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.
“Segala keputusan perlu dibuat selepas meneliti semua fakta dan maklumat berkaitan,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut menegaskan keputusan tidak boleh dipengaruhi emosi atau kepentingan diri, sebaliknya mesti mengikut garis panduan dan undang-undang sedia ada.
Titah baginda, kegagalan mematuhi prinsip itu boleh menjejaskan integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri.


