PENGASAS rangkaian taska bersama dua pengusaha cawangan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran sah, awal tahun ini.
Tertuduh, Nor Fadilah Alias, 36; Nurul Aina Zulkifli, 34; dan Nurkhairunnisa Badrillah, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan tiga majistret.
Pendakwaan dijalankan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim, Khairunnisak Hassni dan Aina Azahra Arifin.
Mengikut pertuduhan, Nor Fadilah dan Nurul Aina didakwa bersama-sama menjalankan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang tidak didaftarkan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di Taman Danau Desa, Brickfields pada 9 Januari lalu.
Dalam prosiding berasingan, Nor Fadilah turut didakwa bersama Nurkhairunnisa atas kesalahan sama di sebuah taska di Jalan Alam Sutera, Cheras pada 5 Februari lalu, selain satu lagi pertuduhan di Medan Niaga Rampai pada tarikh sama.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) akta berkenaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuriwanina Ibrahim, Nurainizatul Farhana Zainal dan Hench Goh, manakala semua tertuduh diwakili peguam Syed Adam Al-Aqib Syed Mohammad Redza.
Mahkamah membenarkan Nor Fadilah diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin, manakala Nurul Aina RM2,500 dan Nurkhairunnisa RM3,500.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Jun depan bagi serahan dokumen.
Pada Rabu lalu, Nor Fadilah bersama seorang pengurus taska turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan sama.


