SEORANG bekas pembuat gigi palsu dihukum penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di Johor Bharu, hari ini atas kesalahan membunuh teman wanitanya, tujuh tahun lalu.
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Lim Siong Kim, 42, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara yang dijatuhkan pada prosiding di akhir kes pembelaan itu berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 10 Jun 2019.
Dalam alasan penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi itu berkata, tertuduh adalah orang terakhir dilihat bersama mangsa dan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa di bengkel gigi palsu tertuduh, lapor Buletin TV3
Selain itu, katanya, terdapat keterangan kawan kepada tertuduh yang mengesahkan ada membantu tertuduh membuang kotak berisi mayat di Taman Setia Indah dan tertuduh sendiri memandu arah polis ke tempat pembuangan kotak berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Lim didakwa membunuh Teo Kang Ling yang berusia 33 tahun ketika kejadian di No 17-01, Jalan Setia Indah di sini, kira-kira jam 8 pagi, 3 Jun 2019.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam G Ravi, Aida Hassan, Datin Freda Sabapathy dan Saravanan.
Seramai 12 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan, manakala pihak pembelaan mengemukakan dua orang saksi pembelaan ketika prosiding bela diri.
Berdasarkan fakta pendakwaan, punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh lemas akibat tekupan pada saluran pernafasan.
Pada 11 Jun 2019, media melaporkan penemuan kotak berisi mayat seorang wanita di tepi jalan di kawasan perindustrian Taman Setia Indah di sini, sekali gus merungkai kehilangan wanita terbabit yang dikatakan kali terakhir dapat dihubungi adalah pada 29 Mei 2019.
Wanita itu dikatakan dibunuh di tempat lain, sebelum dimasukkan ke dalam kotak.
Bagaimanapun, apabila ia mula berbau kuat, tertuduh dikatakan meminta bantuan rakan untuk membuang kotak berisi mayat kekasihnya itu di tepi jalan berkenaan.
Tertuduh kemudian didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada 23 Jun 2019 atas tuduhan membunuh sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini, untuk perbicaraan.


