UNDANG Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong mengadakan persidangan di Balai Undang Luak Sungei Ujong petang tadi bagi membincangkan krisis kepimpinan yang melanda Negeri Sembilan ketika ini.
Pertemuan tertutup itu berlangsung hampir tiga jam bermula kira-kira jam 3.30 petang sebelum kenderaan pertama membawa Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad, dilihat meninggalkan pekarangan balai undang di Ampangan, Seremban kira-kira jam 6 petang.
Turut dilihat beredar selepas itu ialah Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Datuk Baharudin Abdul Khalid.
Undang Luak Johol ketika ditemui media berkata, pertemuan itu hanyalah sekadar perbincangan biasa.
“Bincang anak beranak saja,”katanya ringkas kepada pemberita.
Krisis adat di Negeri Sembilan sebelum ini menjadi hangat berikutan tindakan Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.
Turut diumumkan pemilihan dan pelantikan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Jaafar, sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata tindakan Datuk Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan berkenaan tidak boleh diterima serta tidak diiktiraf kerajaan negeri.
Menurut beliau, tindakan itu tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selain Datuk Mubarak didakwa tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong.


