Suri rumah didakwa seludup 24 migran Indonesia

SEORANG suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Manjung hari ini atas dua pertuduhan menjalankan aktiviti penyeludupan 24 migran warga Indonesia, awal bulan ini.

Tertuduh, Umi Kalsum Omar Noor Balasubramaniam, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa menyeludup lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia di tepi jalan Batu 11 Segari kira-kira jam 3.30 pagi pada 4 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyeludup 11 lelaki dan empat wanita warga Indonesia di sebuah rumah di Jalan Segari, Batu 12 Segari kira-kira jam 4 pagi pada tarikh sama.

Dalam prosiding sama, seorang lelaki warga Indonesia, Theodurus Seran, 30, mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjalankan aktiviti penyeludupan 15 migran warga Indonesia.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertindak sebagai penjaga rumah penampungan didakwa menyeludup 10 lelaki dan lima wanita warga Indonesia di lokasi dan tarikh yang sama.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam, Mohamad Zaidi Othman, yang mewakili Umi Kalsum merayu agar tertuduh diberikan jaminan dengan alasan mempunyai lima anak berusia antara setahun hingga tiga tahun, manakala suaminya warga India bekerja sebagai guru mengaji tanpa pendapatan tetap.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd Kohar, tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Theodurus tidak diwakili peguam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img