3 suspek kes tetak maut bersembunyi di hotel sebelum ditahan

TIGA lelaki dipercayai suspek utama kes seorang lelaki maut ditetak di hadapan sebuah restoran di Bukit Kangkar, bulan lalu, ditahan polis petang kelmarin selepas dipercayai bersembunyi di beberapa hotel sekitar Melaka.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 32 tahun itu ditahan antara jam 7 hingga 7.45 malam hasil maklumat awam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek berusia 24 tahun mempunyai tujuh rekod lampau, suspek berusia 26 tahun memiliki lima rekod, manakala suspek berusia 32 tahun mempunyai enam rekod lampau.

“Ketika ditahan, suspek sedang berehat dan tidur dalam bilik masing-masing dan selepas menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri namun gagal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, hari ini.

Katanya, polis kini giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas kerana disyaki turut terbabit dalam kes berkenaan.

Semalam, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian bulan lalu, mangsa, Tong Wei Sheng, 38, maut sebaik tiba di hospital akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang.

Mangsa dilaporkan ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang selepas dikejar berhampiran sebuah kedai makan sebelum melarikan diri ke sebuah rumah di Batu 9, Bukit Kangkar.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img