TAN SRI Rais Yatim menyifatkan tindakan mengusir Undang Luak Sungai Ujong dari Balai Sungai Ujong dan kediaman rasmi adalah sangat mendukacitakan dan membawa kepada implikasi yang lebih besar.
Malah katanya, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun seharusnya mengambil langkah positif dan tidak keterlaluan sebelum keadaan seperti ‘nasi menjadi bubur’.
“Kes ini belum lagi selesai, jadi kerajaan negeri tidak harus mengambil tindakan undang-undang bersendirian.
“Bawa kepada penyelesaian dahulu, cadangan saya hari itu ialah kedua-dua pihak iaitu Undang Yang Empat dan Yang Dipertuan Besar bermuafakat di bawah payung Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
“Bawa di situ dan tarik balik apa-apa tohmahan atau dakwaan yang dibuat. Dan wujudkan balik sepakat mengikut adat dan juga perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya lapor Malaysiakini.
Perkembangan krisis di antara institusi adat dan Aminuddin dilihat terus memanas apabila kerajaan negeri mengarahkan Balai Undang Sungai Ujong dan kediaman rasmi berkaitan dikosongkan.
Surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 29 April itu mengarahkan pengosongan dilakukan serta-merta.
Melalui surat yang ditandatangani Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin, ia menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan ketetapan sidang khas DKU dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 17 April lalu.
Rais yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, di sebalik krisis politik yang berlaku, keutamaan harus diberikan kepada penyelesaian krisis istana dengan Undang Yang Empat.
Menurut pengkaji adat perpatih itu, ia mesti diatasi oleh semua pihak tanpa ada sifat mala-fide ataupun penyelewengan.
“Pentingnya begitu ialah apabila pihak diraja tadi tidak bersekutu dan bersama, banyak implikasi dia akan berlaku. Pertama, undang-undang yang dibuat tidak sah. Kemudian juga, himpunan Dewan Undangan Negeri (DUN) mungkin terbuka kepada risiko ketidakabsahan.
“Ketiga ialah berkaitan dengan keamanan awam di negeri itu mungkin dipersoal atau jadi prejudicial,” katanya.
Mengulas lanjut, Rais berkata, jalan terbaik adalah sekiranya kerajaan negeri menolak apa-apa tindakan bersifat politik dan selesaikan secara bersama.
“Jangan mengambil tindakan unilateral (sepihak) seperti misalnya mengarah Undang Luak Sungai Ujong keluar daripada kediaman. Sekarang mereka sedang membuat langkah-langkah yang tidak diingini itulah.
“Kes ini belum lagi selesai, jadi kerajaan negeri tidak harus mengambil tindakan undang-undang bersendirian,” jelas Rais sambil menegaskan tindakan itu terlalu membelakangi perlembangaan dan undang-undang.
Rais berkata, beliau sudah minta pihak-pihak perundangan supaya mengingatkan kerajaan negeri agar jangan keterlaluan mengambil tindakan sehingga nampak cuai dalam mentadbir dan juga mengolah tuntutan undang-undang.
Beliau turut menegaskan, meletakkan krisis istana dan Undang Yang Empat dalam keadaan was-was berisiko menyebabkan status kerja dan pentadbiran kerajaan negeri terbengkalai kerana isu undang-undang.


