Wanita warga asing maut terjatuh dari tingkat 13 pangsapuri

SEORANG wanita warga asing berusia lingkungan 20-an ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Bandar Baru Nilai awal pagi ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai mengesahkan menerima maklumat kejadian kira-kira jam 1.30 pagi ketika sepasukan pegawai menjalankan serbuan berkaitan kesalahan narkotik di premis berkenaan.

“Semasa serbuan dijalankan wanita terbabit dipercayai bertindak melarikan diri melalui balkoni unit premis berkenaan, sebelum tergelincir dan terjatuh dari tingkat 13 bangunan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, susulan kejadian itu, unit rondaan bermotosikal (URB) IPD Nilai digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati wanita terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, pasukan perubatan daripada Klinik Kesihatan Nilai tiba di lokasi kejadian mengesahkan wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dikesan setakat ini dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mendapatkan rakaman percakapan saksi,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img