LAUNGAN ‘hidup, hidup, hidup rakyat’ bergema mengiringi Perarakan Hari Pekerja Bantah Perang dan Rasuah yang berlangsung dari Masjid Negara menuju ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai sektor termasuk petani, pesawah, pemandu e-hailing, pekerja ladang, aktivis alam sekitar, masyarakat orang asal, anak muda dan mahasiswa dilihat berkumpul seawal jam 3 petang sebelum mula berarak pada jam 3.30 petang.
Peserta berarak secara berkumpulan sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan sebagai tanda bantahan terhadap isu perang dan rasuah, selain menyuarakan tuntutan mereka bersempena sambutan Hari Pekerja.
Perhimpunan anjuran Jawatankuasa Mei 1 itu mengetengahkan tema ‘Pekerja Bersatu, Lawan Rasuah, Tolak Perang’ yang mencerminkan kebimbangan terhadap konflik global, krisis ekonomi serta isu rasuah dalam negara yang didakwa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan perpaduan.

Tinjauan di lokasi mendapati suasana perarakan berjalan lancar dan terkawal dengan kehadiran kira-kira 110 anggota serta pegawai polis yang memantau keadaan bagi memastikan keselamatan semua pihak.


