KERTAS siasatan berhubung kenyataan didakwa memperlekeh anggota polis ketika sekatan jalan raya (SJR) oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud, telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kertas siasatan itu diserahkan minggu lalu selepas siasatan di peringkat polis selesai.
“Di peringkat siasatan polis, ia sudah selesai apabila kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Keputusan sama ada pertuduhan akan dibuat atau sebaliknya terserah kepada pihak pendakwa raya,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan Wan Rohimi hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi memberi keterangan berhubung dakwaan memperlekehkan tugas polis.
Beliau tiba kira-kira jam 5 petang dan proses rakaman percakapan selesai dalam tempoh kira-kira satu setengah jam.
Siasatan dijalankan susulan video tular yang dikaitkan dengan kenyataan memperlekeh pasukan keselamatan berhubung penganjuran konvoi motosikal, yang mencetuskan perhatian ramai.


