Sistem MyNIISe percepat proses imigresen kepada empat saat September ini

PENGGUNAAN Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) di pintu masuk negara yang beroperasi sepenuhnya mulai September ini dijangka mampu menyelesaikan proses pemeriksaan pengembara dalam tempoh empat hingga lima saat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem yang disifatkan lebih cekap itu dijangka dapat memperkukuh kawalan sempadan negara.

Beliau berkata, sistem baharu yang menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dilaksanakan secara berperingkat membolehkan pelepasan dilakukan melalui tiga kaedah iaitu pengecaman wajah, kod QR dan pasport.

“Saya tengok tadi, timing mula-mula dia punya actor yang sudah ditetapkan dia lebih kurang 4 saat, 5 saat itu yang munasabah.

“Kemudian tadi kita minta seorang kita tarik suruh guna itu dia pun lebih kurang julat masa yang lebih kurang sama.

“Jadi itu besar maknanya sebab nanti kita akan dapati kita tak mahu lagi berdepan keadaan airport congestion ataupun kesesakan sama ada pelepasan ataupun ketibaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan teknikal sepanjang tempoh peralihan daripada sistem lama kepada sistem baharu.

“Saya nak berkongsi dengan rakan-rakan media bahawa fasa peralihan ini sudah tentu akan ada sedikit gangguan teknikal atau glitches. Kita akan cuba minimumkan sedaya upaya.

“Ini kerana penggantian sistem lama MyIMMs kepada sistem baharu MyNIISe melibatkan tiga komponen utama iaitu sistem, infrastruktur dan penyelenggaraan. Jadi dalam proses peralihan ini, ada potensi gangguan teknikal,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin menyatakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berhasrat memperluaskan keanggotaan di bawah inisiatif Malaysia Border Guard (MBG) berdasarkan prestasi anggota sedia ada.

Menurutnya, agensi itu sudah mendapat kelulusan untuk merekrut sehingga 200 anggota MBG tahun ini dengan 50 pengambilan pertama sudah diselesaikan.

“Pengambilan pertama membabitkan 50 anggota sudah selesai, dengan penempatan sedang dilaksanakan di pintu masuk utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang.

“Di KLIA sahaja, seramai 18 anggota daripada pengambilan pertama sudah ditempatkan. Pengambilan kedua kini sedang berlangsung,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img