SEORANG pembantu warden sebuah sekolah menengah di Gua Musang direman tujuh hari selepas disyaki terbabit dalam kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun pada penghujung April lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini, bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, reman berkuat kuasa sehingga 13 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu semalam sebelum suspek ditahan pada hari yang sama.
“Mangsa yang trauma dengan kejadian terbabit memaklumkan perkara itu kepada gurunya sebelum dibawa membuat laporan polis,” katanya.


