TIADA keperluan untuk rakyat negara ini menukar MyKad masing-masing apabila MyKad baharu diperkenalkan mulai 1 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengenalan MyKad baharu itu bertujuan memperkukuh aspek keselamatan dokumen pengenalan diri negara melalui penambahan ciri keselamatan terkini.
Kata beliau, undang-undang hanya mewajibkan setiap warganegara memiliki MyKad apabila mencapai usia 12 tahun, namun tidak menetapkan semua pemegang MyKad sedia ada perlu menukar kad mereka secara serentak.
“Sekarang ada lebih 20 juta rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad. Jadi saya minta jangan berpusu-pusu pada 1 Jun pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tukar. Ambil masa sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau kemajuan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Stesen Bukit Chagar, di Johor Bahru hari ini.
Saifuddin ditanya mengenai proses permohonan MyKad baharu yang akan diperkenalkan bermula Jun depan.
Semalam, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad versi baharu yang dijangka mula diperkenalkan bulan depan akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan, berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Menurut beliau, antara ciri keselamatan baharu ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkat.
Saifuddin pada 4 Mei lalu mengumumkan JPN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia bagi pelancaran rasmi MyKad dan pasport baharu pada Jun ini.
Menurut Saifuddin, semua aspek termasuk sistem, infrastruktur serta persediaan agensi telah dirancang rapi bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.


