KERAJAAN memahami keperluan negeri untuk menambah sumber pendapatan, namun sebarang aktiviti membabitkan sumber alam perlu dilaksanakan secara terkawal serta mematuhi syarat ketat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Pusat tidak menolak keperluan negeri yang berhasrat mencari hasil tambahan, tetapi ia perlu mengambil kira kepentingan alam sekitar, keselamatan penduduk dan kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh.
Menurut beliau, perkara itu termasuk isu yang dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung usaha meningkatkan hasil negeri.
“Saya hormat Tengku Mahkota, tetapi sepatutnya Tengku Mahkota patut faham juga tentang makro bahawa peruntukan ke negeri Pahang itu besar, bukan kecil.
“Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis, memberikan penjelasan keseluruhannya, peruntukan untuk negeri Pahang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina hari ini, lapor BuletinTV3.
Tengku Hassanal hari ini dilaporkan menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan Pusat kerana tidak meluluskan usaha meningkatkan hasil negeri Pahang seperti mengeksport pasir sungai.
Anwar berkata, kerajaan terbuka menerima teguran, namun sebarang pandangan perlu dilihat secara menyeluruh termasuk tekanan ekonomi semasa, kedudukan fiskal negara dan usaha menangani pembaziran.
“Sementara boleh memberi teguran, tetapi saya fikir munasabah kalau dengar dulu apa dia konsep makro ekonomi, apa dia tekanan ekonomi sekarang, apa dia pembaziran yang berlaku oleh banyak kalangan.
“Jadi harus kita tangani ini semua. Tentunya sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya.


