PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) menemukan tiga lagi mayat mangsa bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor, malam ini.
Kesemua tiga mayat berkenaan ditemukan oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Indera Sakti, kira-kira 20 batu nautika dari lokasi bot itu dilaporkan tenggelam.

Maklumat penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada Pusat Operasi CARILAMAT sekitar jam 6.09 petang, sebelum bot Fast Combat Boat (FCB) 1002 digerakkan ke lokasi untuk mengambil mayat berkenaan.
Setakat ini, identiti ketiga-tiga mayat masih belum dikenal pasti dan akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, empat mayat dipercayai mangsa bot berkenaan ditemukan terapung di perairan Pulau Talang petang tadi.
Mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan terapung sekitar jam 2 petang oleh Pasukan Polis Marin (PPM) pada kedudukan kira-kira 16 batu nautika dari Pulau Talang, berhampiran Segari.
Daripada empat mayat itu, tiga mangsa dipercayai wanita manakala seorang lagi lelaki.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 10 malam dan akan disambung semula esok.
Dalam kejadian awal pagi semalam, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia dilaporkan tenggelam di perairan Pulau Pangkor.
Sebanyak 23 mangsa diselamatkan manakala tujuh mayat sudah ditemukan setakat ini dan tujuh lagi masih hilang.


