PROJEK Madani Submarine Cable Connection (Salam) yang menerima peruntukan RM2 bilion di bawah Belanjawan 2026 dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek berkenaan kini masih berada di peringkat awal perancangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah melantik perunding bagi menyelia pelaksanaannya.
“Saya rasa kita masih di peringkat awal. MCMC sudah melantik perunding dan pelaksanaan projek ini akan mengambil sedikit masa.
“Kita akan memberikan perkembangan terkini apabila terdapat kemajuan yang lebih signifikan,” katanya selepas melancarkan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia serta program Girls in ICT di Saujana Hotel Subang, hari ini.
Menurutnya, projek berskala besar itu memerlukan perancangan teliti terutama membabitkan spesifikasi teknikal dan proses tender memandangkan ia penting kepada pembangunan infrastruktur digital negara.
“Ia projek yang mengambil masa dua hingga tiga tahun. Ini projek nasional yang besar, jadi kita memerlukan khidmat perunding bagi memastikan keseluruhan proses termasuk tender dijalankan dengan baik,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Teo berkata wanita bukan sahaja perlu menjadi pengguna teknologi, malah turut memainkan peranan dalam membentuk dan membangunkan sistem digital.
“Kita bukan hanya perlukan wanita sebagai pengguna aplikasi, tetapi juga sebagai arkitek teknologi,” katanya.
Beliau berkata, kekurangan kepelbagaian dalam sektor teknologi menyumbang kepada penyalahgunaan teknologi termasuk penggunaan alat penjana imej kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan imej lucah wanita dan kanak-kanak perempuan tanpa persetujuan.
Menurutnya, penglibatan wanita dalam bidang seperti AI, keselamatan siber dan sains data mampu membawa perspektif serta pengalaman berbeza dalam pembangunan teknologi.
“Mereka membantu memperkenalkan konsep ‘Safety by Design’ bagi memastikan teknologi dibangunkan dengan mengambil kira aspek maruah manusia, privasi dan keselamatan sejak awal, bukannya selepas sesuatu insiden berlaku,” katanya.


