TENGKU Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua jabatan dan agensi yang berkaitan menyembah maklum dan mendapatkan perkenan Sultan Pahang Sultan Abdullah terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di negeri itu.
Istana Abdulaziz dalam kenyataan melalui Facebook memaklumkan, Tengku Hassanal mengambil berat akan aktiviti latihan ketenteraan ATM yang hendak dilaksanakan terutamanya di kawasan kepulauan Pahang.
‘’Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti ketenteraan tersebut akan menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna Negeri Pahang,’’ kata kenyataan itu.
Tengku Hassanal tidak menolak aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pegawai dan anggota tentera, namun aktiviti ketenteraan tersebut mestilah dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar dan semua pihak.
‘’Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku menitahkan agar pihak ATM dan semua pihak mesti mematuhi serta menjunjung titah baginda ini. Baginda tidak akan teragak-agak meminta Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur yang berlaku,’’ kata kenyataan berkenaan


