Buruh dipenjara lima hari, mengaku cederakan isteri

GARA-gara berang anak menangis tanpa henti, seorang buruh dipenjara lima hari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Shafiqdan Mat Nor, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Saiful Akmal Mohd Razi.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 33 tahun di sebuah rumah di Bandar Amanjaya kira-kira jam 4 pagi, 17 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamarulzaman memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Azlinda Zahari dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh bekerja sebagai buruh dan menjadi satu-satunya pencari nafkah keluarga selain menanggung isteri serta anak berusia tiga tahun.

Dalam prosiding sama, Muhammad Saiful Akmal turut menegur tindakan tertuduh dan mengingatkan golongan suami supaya menghormati serta menyayangi isteri, bukannya bertindak ganas.

Mahkamah menegaskan hukuman itu juga sebagai pengajaran kepada masyarakat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img