SEORANG pelajar perempuan kini menerima rawatan di Hospital Melaka selepas ditemukan dengan kesan kelar di leher di sebuah rumah di sekitar Banda Hilir, semalam.
Pelajar berusia 14 tahun itu dilaporkan selamat selepas segera dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut sejurus kejadian.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, remaja terbabit kini dalam keadaan stabil namun masih dipantau oleh pasukan perubatan.
“Pelajar itu sedang menerima rawatan di hospital dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
“Pasukan perubatan hospital sedang menjalankan pemantauan rapi selain memberikan rawatan lanjut kepada remaja itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, aspek sokongan emosi dan psikososial turut diberi perhatian dalam pengurusan kes berkenaan bagi membantu kestabilan mental dan emosi mangsa.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu, selain menghormati privasi mangsa dan keluarganya memandangkan remaja terbabit masih bawah umur.
“Identiti pelajar berkenaan tidak akan didedahkan bagi melindungi privasi pesakit,” katanya.


