SEORANG lelaki berstatus pemastautin tetap ditahan bersama sejumlah 300 bungkusan air ketum bernilai RM3,000 dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman di Rompin semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, suspek berusia 54 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dan Markas Taktikal (Martek) Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Tanjung Gemok, Rompin pada jam 12.30 tengah malam.
Beliau berkata, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Rompin dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan awal juga mendapati lelaki berasal dari Indonesia itu mempunyai kesalahan lampau berkaitan kesalahan sama pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sharif Shai, kejayaan itu hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah termasuk dalam kesalahan berkaitan air ketum yang disenaraikan sebagai racun dan bahan psikotropik di sisi undang-undang,” katanya.






