SEORANG jurusolek kerugian lebih RM200,000 akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga asing ketika bercuti di luar negara.
Wanita berusia 37 itu mendakwa mengenali suspek terbabit ketika bercuti di sebuah wilayah di China pada Mac tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan pelaburan saham.
Menurutnya, dalam perbualan itu, suspek menjanjikan pulangan pelaburan sehingga 17 peratus daripada modal dilaburkan hanya dalam tempoh lima hari.
“Mangsa kemudian dipujuk serta diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan terbabit. Akibat percaya dengan tawaran itu, dia melakukan 11 transaksi ke dalam sembilan akaun berbeza antara Mac hingga bulan ini dengan keseluruhan RM225,020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raiz Mukhliz, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menerima pulangan dijanjikan, manakala aplikasi terbabit tidak dapat lagi diakses.
“Siasatan masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.






