SEBANYAK 17 motosikal diangkut dan 83 notis kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk parkir di lokasi tidak dibenarkan serta menghalang laluan pejalan kaki di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur semalam.
Tindakan itu dilaksanakan menerusi Tindakan Khas Lalu Lintas Angkut Siri 10/2026 yang dijalankan di sekitar Jalan Stesen Sentral 3 dan Jalan Stesen Sentral 5 susulan aduan awam.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu membabitkan motosikal dan kenderaan persendirian yang diletakkan di tempat tidak sepatutnya sehingga mengganggu laluan pejalan kaki serta penggunaan kawasan awam.
“Menerusi siri tindakan kali ini, sejumlah 17 motosikal diangkut ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk tindakan lanjut.
“Ia termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyimpanan sementara sebelum proses tuntutan semula oleh pemilik kenderaan.
“DBKL turut mengeluarkan 83 notis kompaun pelbagai kesalahan lalu lintas lain sepanjang operasi tindakan dijalankan,” kata kenyataan DBKL yang dikeluarkan hari ini.
Menurut DBKL, penguatkuasaan itu dijalankan mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, DBKL menasihatkan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, kenderaan juga perlu diletakkan di tempat yang dibenarkan tanpa menghalang atau mengganggu pejalan kaki serta kelancaran lalu lintas.
“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh salurkan dipautan berikut https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.






