MITI pantau warga asing jalan perniagaan haram

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang memantau rapat kegiatan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram bagi melindungi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, pemantauan itu selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tindakan penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan terhadap aktiviti perniagaan haram khususnya melibatkan warga asing yang melanggar undang-undang negara.

“MITI menerima aduan daripada pemain industri mengenai aktiviti perniagaan haram membabitkan warga asing yang menjejaskan perniagaan tempatan.

“Perdana Menteri mendengar suara pemain industri yang berdepan persaingan tidak adil daripada pihak yang menjalankan perniagaan secara haram, justeru kerajaan mengarahkan tindakan penguatkuasaan besar-besaran terhadap aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) di Georgetown hari ini.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri melahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan, termasuk dalam sektor PMKS sehingga menjejaskan peluang pekerjaan rakyat.

Tze Tzin berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan pelaburan dan perniagaan sah serta mematuhi undang-undang, namun tidak akan berkompromi dengan aktiviti perniagaan haram yang menjejaskan peluang dan pendapatan usahawan tempatan.

Beliau menambah, kewujudan peniaga haram menyebabkan PMKS tempatan terpaksa bersaing dalam keadaan tidak seimbang kerana pihak terbabit didakwa tidak membayar cukai, tidak mematuhi pelbagai syarat serta peraturan perniagaan.

Katanya lagi, terdapat warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan kemudahan tertentu termasuk visa ketibaan sebelum menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan secara haram sama ada dalam talian atau fizikal.

“Terdapat satu kes, keseluruhan rantaian industri pelancongan di Sabah dikendalikan oleh kumpulan dari luar negara sehingga manfaat ekonomi tidak dinikmati oleh pemain industri tempatan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img