Penutup tong ikan selamatkan nelayan terapung selama 11 jam di tengah laut

SEORANG nelayan menjadikan penutup tong ikan sebagai tempat berpaut selama 11 jam apabila bot dinaiki bersama dua rakannya  karam dalam kejadian ribut di perairan Kerteh, kira-kira 27.9 batu nautika dari Kuala Kemaman kelmarin.

Mahadi Jusoh, 51, berkata, dia seolah-olah `mati hidup semula’ apabila bot berkenaan tenggelam pada 12.30 tengah malam akibat dipukul ombak besar setinggi kira-kira dua meter sebelum ditemukan sebuah bot nelayan lain pada jam 10.30 pagi semalam.

Katanya, dalam keadaan hujan lebat dan gelap gelita itu, dia tidak nampak tekong Azan Muda, 68, serta Nordin Mohammad, 61, dan hanya terdengar suara mereka sebelum hilang.

“Saya mendengar suara Nordin mengucapkan dua kalimah syahadah, manakala Azan pula meminta saya mencapai barangan yang terapung untuk menyelamatkan diri.

“Namun dalam tempoh kira-kira 30 minit, suara Nordin dan Azan tidak lagi kedengaran dan masa itu saya hanya berdoa semoga kami semua selamat,” katanya ketika ditemui di Perumahan Rakyat Kampung Fikri, di Chukai hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Mahadi, ingatan terhadap isteri dan anak-anak menjadi penguat semangat untuk terus bertahan menghadapi detik cemas berkenaan.

Katanya, dia turut melaungkan azan beberapa kali sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang kebetulan berada di kawasan berkenaan selepas cuaca kembali cerah dan ombak semakin tenang.

“Saya mungkin akan lemas sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh satu hingga dua jam memandangkan saya ketika itu telah kekejangan otot dan keletihan,” katanya.

Mahadi berkata, kejadian itu menjadi mimpi ngeri paling buruk sepanjang hidupnya sejak bergelar nelayan seawal usia 14 tahun.

Katanya, walaupun terselamat, dia masih diselubungi keresahan memikirkan nasib dua rakannya yang masih hilang.

Sementara itu, isteri kepada Mahadi, Wan Siti Aishah Wan Yaakob, 50, berkata, dia bersyukur suaminya terselamat dalam kejadian tersebut.

“Saya terkejut apabila suami menghubungi saya memaklumkan dia selamat selepas bot yang dinaiki tenggelam dan dua lagi rakannya hilang sejurus tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan.

“Selepas itu, saya memaklumkan kejadian yang menimpa suami kepada anak-anak dan kemudian menemani suami membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan polis sebelum dihantar ke Hospital Kemaman,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img