Remaja 14 tahun maut digilis lori tangki

SEORANG pelajar tingkatan dua meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dan lori tangki di Jalan Sungai Siput, Lubok China, di Alor Gajah semalam.

Dalam kejadian jam 1.48 petang itu, mangsa, Muhammad Muiszudin Mohamad Yusof, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang Yamaha LC dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Sungai Siput Batu Alang menghala ke Lubok China.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang kanan sebuah Perodua Viva yang berada di hadapannya.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum digilis sebuah lori tangki yang dari arah Lubok China menghala ke Simpang Ampat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berusia 32 tahun dan pemandu lori tangki berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut waris bagi urusan pengebumian.

Katanya, ketiga-tiga kenderaan yang terbabit turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Rembia.

“Polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka yang dipercayai merakam kejadian berkenaan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-538 2353 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 45 saat yang memaparkan kemalangan itu turut tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi orang ramai.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img