PINDAAN terhadap Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 yang akan menyaksikan kira-kira 80 peratus perubahan dalam draf cadangan tertumpu kepada aspek tata kelola dan tadbir urus berasaskan piawaian antarabangsa serta amalan tadbir urus korporat yang baik akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau memberitahu, Jemaah Menteri sebelum ini telah meluluskan kertas dasar bagi penggubalan Akta Mara.
“Peringkat ini adalah peringkat dasar dan drafnya kita akan berikan kepada semua pihak berkepentingan, khususnya kementerian lain untuk dinilai dan juga diperhalusi bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka.
“Kemudian, kita angkat sekali lagi ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi maksud untuk kita mendapat kelulusan untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru hari ini.






