PEMANDU treler yang terbabit dalam nahas mengorbankan empat sekeluarga termasuk seorang bayi di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala Bentong semalam, disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 40 tahun itu menjalani ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong selepas menerima rawatan di hospital.
“Keputusan ujian saringan mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine dan tangkapan telah dibuat ke atas pemandu terbabit kira-kira 4 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas polis sebelum ini mendedahkan pemandu treler terbabit turut mempunyai 15 rekod saman trafik.
Dalam kejadian semalam, empat individu termasuk seorang bayi berusia setahun maut selepas sebuah treler membawa muatan habuk kayu terbalik sebelum menghempap sebuah kereta jenis Honda City.
Siasatan awal mendapati treler itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kuantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan menuruni bukit dan berselekoh.
Kenderaan berat itu kemudian terbalik ke sebelah kiri jalan lalu menghempap kereta mangsa yang berada di lorong kiri.
Akibat rempuhan itu, pemandu kereta bersama tiga penumpangnya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.






