SEORANG pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah membuat pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung pelantikannya sebagai pengarah sebuah syarikat.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Siti Shakirah Datuk Wira Mohtarudin terhadap Juliana Jamian yang juga Pengarah UTS Maju Construction Sdn Bhd dalam prosiding yang berlangsung pada 21 Mei lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh melunaskan bayaran selepas prosiding selesai.
Mengikut pertuduhan, Juliana didakwa membuat pernyataan palsu kepada SSM berkaitan pelantikannya sebagai pengarah syarikat.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
SSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tertuduh sebelum ini didakwa di mahkamah sama pada 19 Mei tahun lalu atas tiga pertuduhan mengikut seksyen sama dan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, pada prosiding sebutan semula 21 Mei lalu, tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah bagi satu pertuduhan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan melalui rundingan akuan.
Menurut SSM, dalam menentukan hukuman, mahkamah turut mengambil kira dua lagi pertuduhan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi bersama Pegawai Pendakwa SSM, Farieza Hazreen Salehuddin dan Hamizah Sobree, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad ‘Aizat Adli.






