KEGIATAN sindiket perjudian dalam talian dan mini kasino yang dipercayai berselindung di sebalik sebuah unit kondominium mewah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur tumpas selepas diserbu polis, kelmarin.
Dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu, seramai 15 individu berusia antara 21 hingga 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, tangkapan membabitkan 12 lelaki warga tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Vietnam.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan serta pemantauan sebelum polis menyerbu unit residensi berkenaan yang dipercayai dijadikan lokasi operasi perjudian.
“Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan perjudian termasuk sebuah meja kasino jenis ‘Texas Holdem’, ratusan cip judi, daun terup, wang tunai berjumlah RM4,904, komputer riba serta sistem audio karaoke.
“Selain itu, pemeriksaan turut menemukan empat paket plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan lanjut turut mendapati seorang daripada suspek merupakan individu dikehendaki polis berkaitan kes dadah di Pulau Tikus, Pulau Pinang.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992, Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.






