Syarikat produk makanan kesihatan didakwa elak bayar cukai jualan RM33,787

SEBUAH syarikat pengeluar produk makanan kesihatan bersama pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, atas pertuduhan gagal membayar cukai jualan berjumlah RM33,787.24 bagi tempoh bercukai pada 2024 dan tahun lalu.

HR Manufacturing Sdn. Bhd. serta pengarahnya, Arif Hasim, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa gagal membayar cukai jualan berjumlah RM33,787.24 kepada Ketua Pengarah Kastam bagi tempoh bercukai antara 1 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025 serta 1 Februari 2025 hingga 31 Mac 2025.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kompleks Kastam masing-masing pada 1 Mac dan 1 Mei 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Muhamad Syafiq Haslan bersama Nor Azilah Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Syed Fakhruzzaman Syed Mansor.

Semasa prosiding, pihak pembelaan memohon jumlah jaminan yang munasabah dengan alasan Arif masih perlu bekerja serta menyara keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan Arif diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula serta serahan dokumen.

Tertuduh kemudian dilaporkan membayar wang jaminan dan mengemukakan seorang penjamin di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img