SETIAUSAHA Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Ahmad Shahir Mohd Shah hari ini memohon maaf kepada Undang Yang Empat susulan tindakannya memetik gelaran Institusi Undang ketika Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Jumaat lepas.
Ahmad Shahir berkata sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang, beliau memandang serius penggunaan gelaran “Datuk Undang” kerana ia melibatkan sensitiviti Institusi Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
“Saya mulakan dengan permohonan maaf kepada Udang Yang Empat atas tindakan saya yang berseloroh dengan Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dengan memetik gelaran yang diberi dalam media sosial kepada beliau (sebagai) ‘Tok Undang’.
“Atas kekhilafan tersebut, saya menginsafi dan berharap agar isu ini dapat menjernihkan kekeruhan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata PH sentiasa menghormati serta mempertahankan kemuliaan Institusi Undang sebagai warisan berharga yang menjadi identiti dan kebanggaan Negeri Sembilan.






