Berang dituntut bayar sewa, penghantar barang dipenjara pukul isteri

Seorang pekerja penghantar barang dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan isterinya kerana berang diminta menjelaskan tunggakan sewa rumah.

Tertuduh, Mohamad Norkholis Idris Imam Muryadi, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arun Noval Dass selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 13 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya yang berusia 32 tahun dengan menolak mangsa sehingga tersandar pada dinding ketika berada di sebuah stor di Parit Raja kira-kira jam 9 pagi, 13 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sekali lagi mencederakan isterinya dengan menumbuk muka dan kepala mangsa ketika berada dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumah pada jam 9.30 pagi hari sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan melibatkan pasangan atau ahli keluarga.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut selepas tertuduh tidak berpuas hati apabila isterinya meminta dia menyelesaikan tunggakan sewa rumah.

Siasatan mendapati tertuduh bertindak menolak mangsa sehingga tersandar pada dinding sebelum pertengkaran berlarutan ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Setibanya di pekarangan rumah, tertuduh didakwa menumbuk muka dan kepala isterinya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan.

Susulan laporan polis dibuat mangsa, tertuduh ditahan pada jam 1.35 tengah hari di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu siasatan.

Siasatan lanjut turut mendapati pasangan itu sebelum ini menetap di rumah sewa namun berpindah ke sebuah bilik selepas gagal menjelaskan bayaran sewa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Heng Eng Gee daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img