SEORANG warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas lima pertuduhan membabitkan perbuatan rogol dan jenayah seksual terhadap cucu perempuannya yang berusia 12 tahun di Bachok antara Januari hingga awal Jun lalu.
Tertuduh berusia 79 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan tanpa kerelaan terhadap mangsa di sebuah rumah di Bachok dalam tempoh antara jam 8.28 pagi hingga 1.30 tengah hari bermula 11 Januari sehingga 4 Jun lalu.
Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap mangsa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang masih di bawah umur.
Hakim kemudian menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.






