PEMANDU pikap yang terlibat dalam nahas meragut tiga nyawa termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Chini di Pekan semalam mempunyai enam rekod kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ia termasuk dua saman kerana kesalahan memotong di garisan berkembar.

Menurut beliau, polis belum menahan lelaki berusia 31 tahun itu yang masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
“Bagaimanapun polis sudah mengambil sampel darah dan air kencing untuk ujian toksikologi kimia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, Ketua Unit Forensik Hospital Segamat, Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, anaknya Dhea Sofia, 2, terbunuh selepas kereta mereka naiki bertembung dengan sebuah pikap.
Turut terbunuh pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Ketua Penolong Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Cyberjaya, Azaharuddin Mohd Ali, 46.
Kemalangan turut menyebabkan tiga penumpang kereta dan dua penumpang MPV cedera.
Mohd Zaidi berkata, berdasarkan rekod polis juga, pemandu berasal dari Kuala Krau, Temerloh itu sudah menjelaskan tiga saman kesalahan trafik.
“Lelaki terbabit juga pernah disaman kerana lesen memandu tamat tempoh dan samannya sudah dijelaskan. Satu lagi kesalahan trafik di peringkat mahkamah,” katanya.






