
SEKARANG musim konvokesyen TVET. Musim angka-angka keberhasilan TVET turut dilaporkan di sana-sini. Angkanya sudah pasti cantik-cantik belaka. Kalau boleh nak letak 100 peratus keberhasilan graduan masing-masing walaupun kita tahu, hakikatnya ada angka yang boleh dipertikaikan dan kadang-kadang mengelirukan.
Bagi yang tahu dan berpengalaman seperti saya, hanya tersenyum dengan angka-angka itu sambil teringat lagu rap zaman muda saya dahulu iaitu Mr. Boombastic yang dinyanyikan oleh Shaggy:
“Mr. Boombastic,theory fantastic !”.
Kadangkala saya mengulas dan memperdebatkan angka-angka fantastic (menakjubkan) ini sehingga ada profesor-profesor pencen yang akan emosi dengan ego mereka untuk menyanggah analisis saya yang berpengalaman di lapangan TVET selama 30 tahun, bekas graduan teknikal (IT) dan sarjana (UWTSD,UK) dalam pentadbiran perniagaan (MBA) serta diploma guru terlatih, Kementerian Pendidikan Malaysia (ikhtisas).
Biarlah angka-angka kayangan itu menjadi kerja ‘syok sendiri’ mereka yang menjadikannya sebagai indeks pencapaian keberhasilan (KPI). Bagi penjawat awam ia kot-kot boleh menaikkan pangkat mereka.
Manakala bagi orang politik, sudah pasti mereka mahu mencari kredit memanipulasi data dan fakta dalam suasana pilihan raya semakin membara. Namun rasanya rakyat sudah cerdik dan dapat menilai apa yang sebenarnya sedang berlaku.
Belum lagi cerita kecoh institusi-institusi TVET tempatan di bawah sebuah kementerian yang pengambilan pelajarnya dinaikkan dua kali ganda tahun ini, di dalam keadaan persediaan kemudahan, pengajar dan asrama mereka berada pada tahap tidak bersedia langsung.
Maka resahlah ibu bapa yang saat-saat akhir terpaksa menyewa asrama dengan harga yang tinggi seperti di Lembah Klang. Depositnya naik daripada RM 1,500 kepada RM 3,000 seorang.
Akhirnya ada ibu bapa yang berasa tidak mampu dan membatalkan hasrat untuk menghantar anak mereka belajar di institusi kerajaan. Kakitangan semua IPTA berkenaan turut menzahirkan keresahan yang bakal mereka hadapi.
Saya menerima banyak mesej daripada ibu bapa yang minta disampaikan kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengajian Tinggi pada minggu lalu. Nasib baik Zambry menjawab mesej saya dan mengambil tindakan segera sebelum dihidu oleh media.
Namun saya membayangkan, bagaimana pula kualiti pengajian TVET di institusi berkenaan di seluruh negara dengan semua kekangan tersebut? Biarlah sahabat saya Zambry menyelesaikannya walaupun saya tahu situasi dan kesannya sebab saya juga pernah mengambil graduan mereka bekerja dan internship sejak sekian lama. Terus terang saya katakan bahawa graduan 20 tahun dulu jauh lebih mahir (hands-on) dan terampil berbanding graduan sekarang.

Saya mengambil pendekatan menilai keberhasilan TVET cara saya terutama sektor pertanian dengan menjemput Datuk Seri Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia untuk melihat sendiri keberhasilan produk TVET saya sejak 20 tahun lalu. Bukan mahu masuk bakul angkat sendiri tetapi datang sendiri melawat cara bekerja dan hasil kami.
Saya mengenali Uzir selepas bersiaran langsung bersama di Astro Awani pada tahun lalu yang membicarakan tentang dapatan banci beliau yang menunjukkan krisis tenaga muda dalam sektor pertanian yang berada di bawah 30 peratus (umur bawah 30 tahun sangat meruncing). Selepas itu kami banyak berbincang melalui telefon dan sesekali bersemuka.
Namun baru-baru ini, beliau pergi sendiri menyaksikan model keberhasilan TVET kami dalam keterjaminan makanan di Labuan dan Kampar Perak.
Ketika di Labuan, beliau sempat mempelawa graduan TVET kursus pendek kami yang dibangunkan dalam industri hasilan laut dalam kalangan golongan miskin tegar untuk berkongsi pengalaman dengan kakitangan jabatannya.
Kini mereka bukan sahaja berjaya menjana pendapatan dengan baik tetapi juga mewujudkan koperasi sendiri dengan jualan terkumpul semua peserta program mencecah RM2 juta dalam masa setahun setengah sahaja.
Manakala di Perak, Uzir berkesempatan menyaksikan bagaimana rantaian bekalan ikan boleh diwujudkan secara meluas oleh usahawan TVET tani IGROW, daripada bekalan benih ikan sehinggalah ternakan dan jualan tanpa ada gangguan bekalan seperti sebelum ini.
Menariknya, usaha ini kami lakukan secara bersama dengan pelbagai agensi berkaitan dan melibatkan ramai pengusaha di daerah Kampar dan Perak Tengah secara konsisten sejak 15 tahun lalu.
Usaha Uzir bukan sahaja melakukan kerja banci ekonomi jabatan beliau tetapi juga melihat sendiri model-model ekonomi yang berjaya hasil didikan TVET yang betul dan pakej latihan, bimbingan dan pemantauan untuk dicadangkan pengembangannya dan dimaklumkan kepada kerajaan.
Semua itu adalah hasil usaha sebagai rakan strategik kepada kerajaan dan dilaksanakan bersama agensi berkaitan. Usaha yang penuh kesabaran dan istiqomah.
Bak kata pepatah Inggeris, Seeing Is Believing. Kita tidak perlu berdebat retorik dengan ego yang tinggi kononnya kitalah terpaling pakar dan terpaling profesor dalam TVET.
Bagi saya mudah iaitu tunjukkan di mana kerja dan apa hasil TVET kita, khususnya hasilnya dalam membantu Malaysia. Kalau gagal melakukannya, kita ibarat profesor dan pakar serba tahu (PST) yang akhirnya menghasilkan TVET Sembang Kari.
Datang pula dengan data dan fakta yang meragukan dan mengelirukan. Maka teringatlah penulis kepada majalah Gila-Gila yang sangat popular zaman remaja dulu. Ada watak karton glamour dalam majalah itu iaitu Profesor Serba Tahu (PST). Syok sendiri tapi lucu dan melawakkan! Saya berdoa supaya tidak tergolong dalam PST itu !
*Penulis adalah usahawan dan aktivisi sosioekonomi.






