KETUA Polis Pulau Pinang yang baharu, Datuk Dennis Lim hari ini mengarahkan semua ketua polis daerah (KPD) untuk memastikan laporan daripada orang awam diterima tanpa mengira pakaian, etnik mahupun latar belakang mereka.
Beliau berkata, anggota polis tidak boleh menolak sesiapa sahaja yang datang mendapatkan bantuan, terutamanya mereka yang berdepan kecemasan, kemalangan, ancaman jenayah atau keadaan yang membahayakan nyawa.
“Jika mereka berlari ke balai polis dalam keadaan kecemasan, sama ada disebabkan kemalangan jalan raya, ancaman nyawa atau situasi berkaitan jenayah, kita wajib menerima laporan polis tersebut. Kita tidak boleh menolak mereka.
“Saya mahu semua OCPD (KPD) mengarahkan anggota masing-masing supaya tidak menolak orang ramai hanya kerana cara mereka berpakaian atau identiti etnik mereka, kerana mereka mungkin berada dalam situasi kecemasan dan memerlukan bantuan,” katanya dalam sidang media pertama selepas memulakan tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang.
Dennis menggantikan Datuk Azizee Ismail yang bersara wajib pada Sabtu lalu. Majlis serah terima tugas Ketua Polis Pulau Pinang diadakan pada 19 Jun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Dennis, 57, yang berasal dari Muar, Johor, telah berkhidmat dalam PDRM selama 32 tahun, dengan 30 tahun daripadanya di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Jawatan terakhir beliau sebelum ini adalah sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Mengulas lanjut beliau berkata, keselamatan awam merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama erat antara pihak polis, komuniti setempat serta agensi kerajaan.
Beliau turut memuji penduduk Pulau Pinang sambil menyifatkan mereka sebagai faktor utama di sebalik rekod keselamatan negeri yang kukuh, iaitu antara terbaik di dalam negara.
Dennis juga menekankan kepentingan mengekalkan kawasan kejiranan yang selamat dengan mengenal pasti dan memulihkan kawasan yang cenderung berlaku jenayah, atau kawasan titik hitam (black spots), dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, kawasan terbiar, bangunan kosong dan persekitaran yang tidak diselenggara dengan baik boleh menjadi tumpuan penjenayah serta penagih dadah lalu mewujudkan persekitaran tidak selamat untuk orang ramai.
“Kami akan mengenal pasti kawasan ini dan berusaha untuk mengubahnya menjadi kawasan yang selamat demi kesejahteraan komuniti,” tambahnya.
Dennis turut menggariskan beberapa keutamaan utama bagi kontinjen polis Pulau Pinang termasuk mengoptimumkan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), memperkukuh profesionalisme dan integriti dalam pasukan, serta mengutamakan kesejahteraan orang awam.
Katanya, pihak polis mengalu-alukan kerjasama dengan organisasi korporat dan penyedia teknologi untuk meningkatkan keupayaan kepolisan serta menambah baik keselamatan awam.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam di Pulau Pinang. Polis dan komuniti mesti terus bekerjasama kerana keselamatan adalah tanggungjawab semua,” katanya.






