LEBIH 26,000 kontraktor di Selangor dijangka bakal ‘gulung tikar’ atau tidak mampu meneruskan operasi perniagaan kerana kenaikan kos bahan binaan yang masih tidak menentu di pasaran.
Kekangan kewangan menyebabkan mereka terpaksa menarik diri daripada tawaran projek pembinaan dan tidak memperbaharui Sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (SPPK).

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, Selangor merekodkan kontraktor paling tinggi berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) iaitu lebih 50,000 orang pada 2024.
Namun kata beliau, statistik pihaknya mendapati jumlah kontraktor berdaftar di Selangor kini hanya 24,000 orang dan menurun lebih 50 peratus.
“Antara faktor utamanya kerana keseluruhan harga bahan binaan masih tidak stabil dan kos itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak kontraktor.
“Situasi ini menyebabkan mereka tidak mampu dari segi kewangan lalu memutuskan tidak memperbaharui lesen dan memulangkan semula surat tawaran projek kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PKMM Selangor kali-40 di Shah Alam, semalam.
Menurut Mohd Rosdi, kerajaan menerusi kementerian dan agensi berkaitan disaran menyemak semula jadual kadar harga terkini bagi mengelak 138,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara gulung tikar.
“Langkah itu perlu sebelum mengeluarkan tender, sebut harga dan surat setuju terima kepada kontraktor yang dilantik atau dipilih mengikut jadual kadar berkenaan.
“Selain mengembalikan VOP (variasi harga), pemilihan dan lantikan kontraktor melalui sistem undian perlu dipertingkatkan bagi mengelak ketirisan dan manipulasi oleh pihak tertentu,” ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya turut tidak bersetuju dengan dasar kerajaan menetapkan syarat lesen dalam tempoh tertentu bagi kontraktor G1 kepada G2.
“Kenaikan kelas kecil kepada kelas besar itu perlu berdasarkan kemampuan kontraktor dan bukannya kerana faktor usia,’ katanya lagi.
Namun, beliau menyokong kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Selasa lalu yang mahu menyemak semula isu itu yang diperjuangkan PKMM sejak sekian lama.






