
DUNIA hari ini tidak lagi dibentuk oleh satu kuasa besar. Persaingan antara Amerika Syarikat dan China, kemunculan BRICS (Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan serta anggota baharu), serta konflik yang silih berganti di Asia Barat dan Eropah menandakan bahawa orde dunia sedang mengalami perubahan yang sangat besar.
Persoalannya, di manakah kedudukan ASEAN dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar?
Persoalan itu menjadi fokus Wacana Intelektual Nusantara bertemakan The Emerging (Post-Conflict) Global Order: ASEAN, Indonesia and Malaysia in the Challenging Geopolitical Landscape Following the US-Iran Conflict yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini, anjuran bersama Majlis Perundingan Melayu (MPM), Pusat Pengajian Islam dan Peradaban (PUSPIP) serta Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA).
Ucapan utama oleh bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar, mengingatkan bahawa istilah post-conflict sebenarnya mengelirukan. Dunia tidak pernah benar-benar memasuki era pascakonflik.
Sebaliknya, setiap konflik hanya berubah bentuk daripada peperangan ketenteraan kepada persaingan ekonomi, perdagangan, teknologi, kewangan dan perebutan pengaruh geopolitik.

Beliau turut mengkritik realiti sistem antarabangsa yang masih mengamalkan layanan dua darjat. Negara kecil pantas dihukum apabila melanggar undang-undang antarabangsa, namun kuasa besar sering terlepas daripada tindakan. Keadilan antarabangsa akhirnya terlalu bergantung kepada keseimbangan kuasa, bukannya kepada prinsip undang-undang.
Pandangan itu diperkukuhkan dalam sesi panel yang dikendalikan oleh Datuk Kamaruddin Ahmad bersama Prof. Datuk Dr. Rahmar Mohamad dan Dr. Mohd. Ramlan Mohd. Arshad. Rumusannya jelas, ASEAN tidak boleh terus menjadi pemerhati kepada percaturan kuasa-kuasa besar.
Ketika Amerika Syarikat memperkukuh pakatan tradisionalnya, China pula semakin agresif mengembangkan pengaruh melalui BRICS dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), di samping pelbagai inisiatif ekonomi dan pembangunan. Kedua-dua kuasa besar ini sedang membentuk landskap geopolitik baharu yang akhirnya memberi kesan langsung kepada negara-negara ASEAN.
Dalam keadaan orde dunia yang semakin cair (fluid), negara-negara kecil semakin sukar merancang pembangunan ekonomi, perdagangan, keselamatan tenaga dan kestabilan politik. Ketidaktentuan inilah yang menuntut ASEAN membina daya tahan sendiri.
Namun, wacana ini tidak berhenti pada analisis semata-mata. Ia turut mengemukakan satu kerangka tindakan yang boleh menjadi asas kepada Pelan Kemakmuran ASEAN Abad Ke-21.
Malaysia dan Indonesia sebenarnya mempunyai kelebihan yang jarang disedari. Kedua-dua negara menganggotai hampir semua blok ekonomi utama dunia, termasuk Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Dua Puluh (G20), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan ASEAN. Kedudukan strategik ini boleh dimanfaatkan untuk membentuk agenda ekonomi serantau yang lebih bebas, seimbang dan berdaya saing.
Lebih menarik, wacana ini mencadangkan supaya jaringan masyarakat madani dan pertubuhan bukan kerajaan menjadi pemangkin kepada pembinaan ASEAN yang lebih kukuh. Kerajaan sahaja tidak memadai. Pembinaan komuniti serantau memerlukan penglibatan universiti, badan pemikir, institusi pendidikan, media dan sektor swasta.
Bidang kerjasama strategik ASEAN
Antara bidang kerjasama yang dicadangkan ialah:
• Media dan Maklumat ASEAN bagi membina naratif serantau yang lebih seimbang.
• Pendidikan Islam dan Pendidikan ASEAN melalui jaringan institusi serta pertukaran kepakaran.
• Universiti ASEAN sebagai hab penyelidikan, inovasi dan diplomasi akademik.
• Budaya ASEAN bagi memperkukuh identiti dan kesepaduan masyarakat serantau.
• Gedung Ekonomi ASEAN untuk memperluaskan perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan serantau.
• Institusi Teknologi ASEAN bagi mempercepat pembangunan teknologi digital, kecerdasan buatan dan keselamatan siber.
• Keselamatan ASEAN untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman rentas sempadan.
• Pertahanan ASEAN melalui kerjasama strategik tanpa menjejaskan dasar berkecuali rantau ini.
• Orde Geopolitik ASEAN bagi membentuk pendirian bersama terhadap isu-isu strategik dunia.
• Pemerkasaan Piagam ASEAN supaya prinsip dan komitmen yang dipersetujui benar-benar diterjemahkan dalam dasar dan tindakan.
Cadangan-cadangan ini bukan sekadar idealisme. ASEAN mempunyai lebih 650 juta penduduk dengan keluaran dalam negara kasar yang mencecah trilion dolar Amerika Syarikat. Potensinya cukup besar jika rantau ini mampu bergerak sebagai satu komuniti strategik yang benar-benar bersatu.
Akhirnya, mesej paling penting daripada Wacana Intelektual Nusantara ialah ASEAN perlu beralih daripada bersikap reaktif kepada proaktif; daripada sekadar mengikut arus kepada membentuk agenda sendiri; dan daripada menjadi pasaran kepada muncul sebagai kuasa strategik yang disegani.
Jika abad ke-20 menyaksikan ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keamanan serantau, maka abad ke-21 menuntut ASEAN membina kemakmurannya sendiri berasaskan kekuatan ekonomi, ilmu, teknologi, budaya dan perpaduan. Itulah cabaran sebenar yang perlu dipimpin oleh Malaysia, Indonesia dan seluruh negara anggota ASEAN.
Tulisan ini diambil daripada rumusan dan ucapan penutup yang disampaikan oleh penulis dalam wacana tersebut.
*Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)






