SEORANG wanita melecur kira-kira 70 peratus selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel di bilik pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Ria Jaya, Sungai Petani petang semalam.
Dalam kejadian itu, wanita terbabit yang identitinya belum dikenal pasti mengalami kecederaan parah akibat melecur dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku ketika wanita terbabit dipercayai cuba mencuri kabel di bilik pencawang berkenaan.
“Wanita itu kini menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan kritikal selepas mengalami kecederaan melecur kira-kira 70 peratus pada badan serta ditidurkan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Hanyan berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa dan mendapatkan maklumat lengkap berhubung kejadian itu.






