POLIS menerima tujuh laporan berhubung isu pengurusan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular di media sosial dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkaitan isu tersebut susulan penyebaran pelbagai dakwaan di media sosial.
Menurut beliau, setakat jam 5 petang hari ini, sebanyak tujuh laporan polis telah diterima dan kes masih dalam siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara telus serta terperinci terhadap semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Ketua Polis Balai Ampang di talian 03-4289 7222 bagi membantu siasatan.
Isu berkenaan sebelum ini menjadi perhatian selepas tular dakwaan berkaitan pengurusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada 25 Jun lalu.






