Warga emas dituduh cabul 2 murid perempuan dalam kawasan masjid

SEORANG lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan sekolah rendah dalam kawasan masjid di Semabok, Melaka pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Aziz Mohammad @ Teh Eng Guan,73, didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam SS Amritpal Singh didakwa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif.

Aziz didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Bahagian Bilik Stor di Masjid Al-Abrar, Semabok kira-kira jam 1.05 petang 15 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, warga emas itu didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada 22 Jun lalu, di tempat sama, kira-kira jam 1.05 petang.

Tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam merayu jumlah minimum atas alasan tertuduh menghidap penyakit kencing manis kronik dan masih menanggung anak bongsu pesakit autisme dan tiada risiko melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Aziz dilepaskan dengan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat seperti dimohon pendakwa dan menetapkan sebutan semula pada 29 Julai bagi serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan keji seorang warga emas didakwa mengumpan RM5 dan mi segera kepada dua murid perempuan sebelum mencabul mereka. Jenayah itu terbongkar selepas kedua-dua mangsa menceritakan kepada guru kaunseling sekolah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img