MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, MRSM Kuala Klawang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas muncul juara dalam kategori berasingan pada World of Robotics Championship (PRO) 2026 (WRC PRO 2026) yang berlangsung di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur semalam.
Pertandingan selama dua hari itu menghimpunkan pelajar berusia 13 hingga 19 tahun daripada MRSM, Kolej Vokasional dan sekolah menengah seluruh negara dalam pertandingan robotik berasaskan teknologi industri.

Bagi kategori RoboSoccer Prime, pasukan SMK Sri Andalas yang dianggotai Arun Thiagarajan, Asha Thiagarajan dan Aneesh Sirgunan berjaya menewaskan pencabar lain untuk merangkul gelaran juara.
Naib juara dimenangi pasukan Kolej Vokasional Seri Manjung menerusi Mohamad Aiman Wafiy Mohd Noor Azmi dan Muhammad Amirul Irfan Khairul Azhar, manakala tempat ketiga turut menjadi milik Kolej Vokasional Seri Manjung melalui Muhammad Ian Zahirul Izzani Samsol dan Muhammad Amar Ghazali.

Bagi kategori RoboSoccer Max, pasukan MRSM Kuala Klawang yang diwakili Adam Hakimi Mohamad Zubir, Ahmad Faris Faisal dan Iskandar Harith Rozaili muncul juara selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.
Pasukan MRSM Kuantan yang dianggotai Ayman Zafran Mohd Fakhrurazi, Ahmad Danish Mohd Aizuddin dan Muhammad Rayyan Zikri Muhammad Nur Fikri meraih naib juara, sementara MRSM Batu Pahat menduduki tempat ketiga menerusi Muhammad Khazarif Irfan Mohd Khuzaire, Ryzqeen Faiz dan Muhammad Aiman Amsyar Ramlee.

Dalam kategori Airsport Max, MRSM Batu Pahat muncul juara menerusi Nur Dini Afiqah Norzairi, Nurul Azwa Qistina Shahfadir dan Muhammad Mirza Syaqirin Mohd Salmi.
Tempat kedua dimenangi MRSM Parit yang diwakili Nooradam Najwan Noorazmi, Muhammad Zhoreef Muhammad Farid dan Muhammad Adam Haris Mohd Azlan, manakala MRSM Semporna meraih tempat ketiga menerusi Muhammad Iman Mohammad Hasanan, Ahmad Azim Syuaib Syahlan dan Aniq Thaqif Abdullah.

Kejohanan anjuran World of Robotics Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Rakan Muda itu menjadi platform pembangunan bakat robotik dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan (Engineering) dan Matematik (STEM) negara.
Peserta bukan sahaja diuji dari aspek reka bentuk dan pembinaan robot, malah perlu mengaplikasikan kemahiran pengaturcaraan, strategi, penyelesaian masalah serta kerja berpasukan dalam cabaran yang disediakan.

Juara bagi setiap kategori turut berpeluang dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan robotik antarabangsa yang dijadual berlangsung di Busan, Korea Selatan pada November 2026.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Datuk Ruziah Shafei.






