KEINGINAN seorang penjawat awam wanita untuk menjana pendapatan tambahan bertukar kerugian apabila wang simpanannya berjumlah RM22,033 lesap selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia lewat 40-an tertarik dengan satu iklan pelaburan yang dilihat di laman sosial itu pada 15 Jun lalu kira-kira jam 1 tengah hari.
Menurutnya, mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu menggunakan nama Rafidah sebelum menyatakan minat untuk menyertai pelaburan berkenaan.
Katanya, pada 25 Jun lalu kira-kira jam 9.24 malam, mangsa membuat transaksi pertama sebanyak RM300 sebagai permulaan pelaburan.
“Selepas membuat pembayaran, mangsa dihubungi pula seorang wanita dikenali sebagai ‘Liza’ yang memperkenalkan dirinya sebagai pentadbir atau ‘admin’ pelaburan tersebut.
“Pada 27 Jun lalu kira-kira jam 10.45 pagi dan 1.57 tengah hari, mangsa membuat dua lagi transaksi berjumlah RM3,787 ke dalam dua akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa kemudian meneruskan pembayaran apabila membuat transaksi sebanyak RM4,642 pada 29 Jun lalu sebelum membuat satu lagi pembayaran berjumlah RM5,803 pada hari sama.
Menurutnya, mangsa turut membuat transaksi terakhir sebanyak RM7,500 semalam kerana percaya wang yang dimasukkan akan memberikan pulangan lumayan.
“Bagaimanapun selepas semua transaksi dibuat, mangsa masih diminta membuat pembayaran tambahan sebelum mula menyedari dirinya ditipu.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 2.30 petang semalam,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM22,033 dan wang digunakan merupakan simpanan miliknya sendiri.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Azli berkata, pihaknya turut menerima dua lagi laporan menggunakan modus operandi sama namun membabitkan kerugian lebih kecil iaitu melebihi RM2,000 dan RM800.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap mana-mana syarikat atau pihak yang menawarkan pelaburan dengan pulangan tidak munasabah serta tempoh keuntungan yang terlalu singkat.
Katanya, penggunaan beberapa akaun bank berbeza untuk tujuan pembayaran juga antara petanda awal sesuatu pelaburan itu berkemungkinan penipuan.






