SULTAN Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan projek Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam yang disifatkan sebagai kemudahan penting demi kesejahteraan rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.
Dalam titah perutusan sempena pembukaan projek itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menerima cadangan baginda untuk membina sistem pengangkutan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
“Beta masih ingat, titah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu, Beta telah memaklumkan kepada beliau semasa satu majlis berbuka puasa di rumahnya pada tahun 2015 dan beliau tanpa ragu menerima cadangan Beta itu.
“Ia susulan keluhan dan rintihan dalam banyak surat yang Beta terima daripada suri rumah (housewives) mengenai suami mereka yang kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Persekutuan khususnya.
“Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk. Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Dato’ Seri Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018,” titahnya hari ini.
Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin bertitah projek LRT3 mengalami kelewatan lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada 2018 dan tambahan 19 bulan lagi susulan pandemik COVID-19.
Baginda turut menyentuh keputusan ketika pentadbiran Kementerian Kewangan sebelum ini yang diketuai Lim Guan Eng bersama penasihatnya Tony Phua yang menurut baginda telah mengecilkan kos pelaburan projek atas alasan ia merupakan projek mega.
Menurut baginda, tindakan itu menyebabkan saiz stesen dikurangkan, jumlah gerabak dikecilkan serta lima cadangan lokasi stesen dibatalkan.
“Namun, Alhamdulillah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau bersetuju untuk meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan dan akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat Beta.
“Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin berharap pembukaan LRT3 mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat yang tinggal di Klang dan Shah Alam serta bekerja di Kuala Lumpur.
Baginda turut berharap pihak berkaitan dapat memastikan penyelenggaraan laluan itu dilaksanakan dengan baik supaya operasi berjalan lancar.
“Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.
“Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” titahnya.
Baginda turut berharap kemudahan infrastruktur itu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi pertumbuhan negara.






